Tenaga boleh baharu harus menerajui fasa penamatan arang batu Malaysia bagi mengelakkan kebergantungan kepada gas: WEF

Malaysia berpotensi menukar tapak loji arang batu yang bakal ditamatkan operasi kepada hab tenaga bersih serta mempercepatkan penggunaan solar, penyimpanan tenaga dan teknologi tenaga boleh baharu yang lain, ketika ia berusaha untuk menamatkan penggunaan arang batu dalam penjanaan tenaga elektrik menjelang 2044.

TNB LSS at Sepang
A large-scale solar (LSS) farm operated by Malaysia’s leading provider of sustainable energy solutions,TNB,in Sepang, Malaysia. Solar power will play a crucial role in Malaysia’s net zero ambitions. Image: TNB

Read in English

Malaysia harus mempercepatkan pelaksanaan tenaga boleh baharu dan memperkukuhkan fleksibiliti grid menjelang penamatan operasi loji janakuasa arang batu, agar peralihan tenaga tidak membawa kebergantungan yang lebih tinggi terhadap gas secara tidak sengaja, menurut sebuah laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF).

Laporan tersebut, Beyond Coal: Building a Flexible, Resilient and Clean Power System for Malaysia, menyatakan bahawa negara telah membina asas yang kukuh untuk peralihan tenaga teratur daripada arang batu, termasuk komitmen untuk tidak membina loji janakuasa arang batu baharu serta sasaran untuk menghentikan penggunaan arang batu dalam penjanaan tenaga elektrik sepenuhnya menjelang 2044.

Namun, kadar penggunaan tenaga boleh baharu dan sumber tenaga bersih yang lain adalah penting apabila loji arang batu yang semakin berusia mula ditamatkan operasi mulai penghujung dekad ini.

Laporan itu mengenal pasti peningkatan kapasiti tenaga boleh baharu “untuk menggantikan arang batu daripada gas” sebagai salah satu keutamaan dalam peralihan tenaga Malaysia, di samping pelaburan penyimpanan tenaga dan penaiktarafan grid bagi mengintegrasikan jumlah tenaga boleh baharu boleh ubah (VRE) yang semakin meningkat.

Sistem bekalan elektrik Malaysia masih bergantung kepada bahan api fosil. Pada 2024, arang batu menyumbang 32.3 peratus daripada kapasiti terpasang, bersamaan 13.1 gigawatt (GW), manakala gas menyumbang 37.6 peratus atau 15.3 GW. Solar mewakili 10.3 peratus atau 4.2 GW, sementara hidroelektrik menyumbang 15.6 peratus atau 6.3 GW.

Di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Malaysia menyasarkan peningkatan kapasiti tenaga boleh baharu, termasuk hidroelektrik, daripada sekitar 13 GW pada 2025 kepada 68 GW menjelang 2050, dengan tenaga boleh baharu merangkumi 70 peratus daripada kapasiti terpasang.

Menurut WEF, pencapaian sasaran ini akan membolehkan Malaysia memanfaatkan sumber semula jadinya dan membangunkan sumber elektrik yang lebih murah dan mampan, selain mengurangkan risiko pendedahan kos import bahan api dan ketidaktentuan harga.

Walau bagaimanapun, peralihan ini akan berlaku dengan permintaan elektrik yang semakin meningkat. Penggunaan tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia dijangka meningkat sekitar 4.5 peratus setiap tahun dalam jangka masa sederhana, didorong oleh pertumbuhan ekonomi dan populasi, elektrifikasi, peningkatan permintaan bagi sistem penyejukan serta pelaburan pusat data.

Menurut anggaran yang dipetik dalam laporan tersebut, pusat data sahaja boleh menyumbang sekitar 11 peratus daripada beban puncak elektrik Semenanjung Malaysia menjelang tahun 2035.

Keadaan ini mewujudkan risiko bahawa kapasiti penjanaan berasaskan arang batu yang akan ditamatkan operasinya mungkin digantikan dengan penjanaan berasaskan gas, sekiranya kapasiti tenaga boleh baharu dan fleksibiliti sistem tidak berkembang dengan cukup pantas.

Gas telah dikenal pasti sebagai sumber interim bagi tenaga yang stabil dan penyeimbang beban semasa penggunaan arang batu dikurangkan secara berperingkat.

Namun, kebergantungan yang lebih tinggi kepada gas boleh mendedahkan Malaysia kepada risiko pelepasan karbon dan bekalan, memandangkan rizab gas domestik di Semenanjung Malaysia semakin berkurang dan negara lebih bergantung kepada gas asli cecair (LNG) yang diimport.

Laporan itu menyatakan bahawa gangguan di Selat Hormuz pada awal tahun ini telah menyerlahkan lagi kerentanan yang dikaitkan dengan pergantungan kepada LNG import.

Pengubahan tapak loji arang batu kepada aset tenaga bersih

Antara cadangan utama laporan tersebut untuk menangani isu ini termasuk, penubuhan Kerangka Nasional bagi Penukaran Fungsi Tapak Arang Batu, untuk mempercepatkan peralihan tapak loji janakuasa arang batu yang bakal ditamatkan operasinya kepada hab tenaga bersih.

Tapak arang batu sedia ada boleh digunakan semula untuk menempatkan teknologi seperti tenaga solar dan sistem penyimpanan bateri, sekali gus membolehkan Malaysia memanfaatkan sambungan grid serta infrastruktur sedia ada, di samping mengurangkan gangguan terhadap bekalan elektrik.

WEF menyifatkan usaha menukar fungsi tapak arang batu ini sebagai langkah tiada penyesalan (no-regrets solution), memandangkan beberapa loji telah pun dijadualkan untuk ditamatkan operasinya.

Penggunaan semula tapak tersebut boleh mempercepatkan pembangunan tenaga boleh baharu sambil membantu menangani salah satu cabaran utama peralihan tenaga, iaitu memastikan bekalan tenaga bersih dan fleksibiliti sistem yang mencukupi tersedia apabila kapasiti arang batu ditamatkan.

Ia juga mengesyorkan agar Malaysia memastikan ketersediaan tenaga boleh diperbaharui “mendahului penamatan operasi arang batu”, daripada membenarkan kapasiti arang batu digantikan oleh gas. Ia turut menggesa peningkatan fleksibiliti sistem melalui penyimpanan tenaga, penaiktarafan grid dan langkah-langkah lain yang membolehkan penyepaduan VRE yang lebih besar.

Sembilan cadangan strategik laporan itu turut melangkaui penggantian arang batu dengan tenaga boleh diperbaharui.

Langkah-langkah tersebut juga merangkumi penggunaan coal-flex, jika bersesuaian, untuk menyokong integrasi VRE dan mengelakkan penggantian dengan gas; membuka akses pembiayaan bagi tujuan pengubahsuaian fungsi loji arang batu dan penamatan operasi yang lebih awal; serta penggunaan bahan api campuran sebagai pilihan peralihan untuk menyumbang kepada pengurangan penggunaan arang batu secara berperingkat.

Ia turut mengesyorkan pengurusan gas sebagai bahan api peralihan sambil mengelakkan kebergantungan jangka masa panjang yang sukar diubah.

Dalam jangka panjang, Malaysia berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada gas bagi keperluan bekalan tenaga yang stabil melalui integrasi serantau yang lebih meluas menerusi Grid Tenaga Asean (APG) dan meneroka tenaga nuklear.

Menerusi APG Malaysia boleh memanfaatkan sumber tenaga elektrik serantau bagi menguruskan ketidakstabilan bekalan dan mengimbangi sistem, manakala tenaga nuklear berpotensi menyediakan sumber elektrik yang stabil dan rendah karbon sekiranya ia menjadi pilihan yang berdaya maju untuk negara.

Laporan itu turut menyatakan bahawa kedudukan kepimpinan serantau Malaysia boleh dimanfaatkan untuk memajukan APG, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada gas secara berperingkat seiring dengan peningkatan tenaga boleh baharu ke dalam sistem.

Oleh itu, peralihan daripada penggunaan arang batu memberikan peluang yang lebih luas kepada Malaysia untuk merangka semula sistem tenaga dengan menumpukan kepada tenaga boleh baharu, sistem penyimpanan tenaga, grid yang lebih kukuh serta ketersambungan serantau, daripada hanya mengubah campuran bahan api fosil.

Memandangkan penamatan operasi loji arang batu akan bermula secara lebih ketara mulai 2029, penjadualan pelaburan-pelaburan ini adalah penting bagi memastikan peralihan tenaga negara dapat memperkukuh keselamatan tenaga.

Like this content? Join our growing community.

Your support helps to strengthen independent journalism, which is critically needed to guide business and policy development for positive impact. Unlock unlimited access to our content and members-only perks.

Most popular

Featured Events

Publish your event
leaf background pattern

Transforming Innovation for Sustainability Join the Ecosystem →

Strategic Organisations

NVPC Singapore Company of Good logo
First Gen
NZCA