Adakah grid hibrid solar-hidro masa depan usaha elektrifikasi luar bandar Sabah?

Sistem hidro berskala kecil, digabungkan dengan panel solar untuk meningkatkan bekalan tenaga boleh diperbaharui, telah menyokong usaha di Sabah bagi memperbaiki akses kepada elektrik bersih dan stabil di kampung-kampung yang kurang mendapat perkhidmatan.

Adrian Banie Lasimbang
Tonibung's founder Adrian Banie Lasimbang shows the mock-up of a solar (DC) and hydro (AC) circuit to test for power supply issues arising from the use of the two different renewable energy sources as Tonibung retrofits Kampung Terian’s village grid to accomodate solar energy. Image: Vincent Tan / Eco-Business

Kompleks Tonibung di Kampung Nampasan, terletak di negeri Sabah, Borneo Malaysia, kelihatan seperti bengkel kejuruteraan biasa – dengan rangka logam dan besi tersusun rapi di satu sisi serta beg campuran simen bertimbun tinggi. Di sudutnya, terdapat juga kit fotovoltaik solar masih dalam kotak yang belum dibuka.

Ketika kunjungan Eco-Business pada suatu petang Jumaat, kompleks itu sunyi kerana kakitangan organisasi bukan untung tersebut telah pulang untuk hujung minggu. Namun semasa waktu bekerja, kami diberitahu bahawa ruang yang sama menjadi hidup dengan bunyi deruan pemotong kuasa, pematang kimpalan dan alat kuasa lain.

Adrian Banie Lasimbang, pengasas Tonibung, baru sahaja pulang dari kawasan luar bandar Kota Kinabalu, di mana beliau mengawasi pengubahsuaian sebuah mikrogrid di Kampung Terian – salah satu projek terawal Tonibung yang terletak di Banjaran Crocker.

Sebelum ini, kampung itu dibekalkan elektrik melalui sistem hidro mikro, di mana sebuah empangan mini yang mengandungi turbin air menukarkan aliran sungai menuruni bukit kepada tenaga putaran, yang kemudiannya bertukar menjadi elektrik untuk menjana tenagakepada lebih 20 rumah di Terian.

Baru-baru ini, Lasimbang memasang panel solar pada sistem tersebut – mengubah grid itu menjadi sistem hibrid. Namun, proses ini lebih rumit daripada sekadar memasang panel solar dan bateri di rumah penduduk kampung.

Hal ni kerana sistem hidro mikro menghasilkan arus ulang-alik (AC), manakala tenaga solar menghasilkan arus terus (DC). Kejadian ini bermakna bahawa Tonibung perlu menyediakan prosedur operasi standard baharu untuk membantu penduduk mengintegrasikan kedua-dua jenis arus elektrik di rumah mereka.

Menurut Lasimbang, semakin banyak pihak pembiaya telah meminta pelaksanaan tenaga solar untuk usaha elektrifikasi luar bandar. Sebagai penyelesaian berasaskan pasaran, tenaga solar berfungsi dengan cekap kerana ia boleh dipasang dengan pantas dan bersifat modular. Di Sarawak, kerajaan negeri juga telah memulakan pemasangan sistem hibrid solar-hidro untuk program elektrifikasi luar bandarnya.

Projek Terian merupakan pengubahsuaian hibrid pertama Tonibung. Tonibung juga telah memasang grid solar-hidro di kampung-kampung lain yang direka dan dibina sebagai sistem hibrid dari awal.

Namun, penggunaan pemasangan solar di kawasan luar bandar Malaysia mempunyai cabarannya. Contohnya, menurut Lasimbang, terdapat cabaran logistik untuk melupuskan atau mengitar semula sisa solar dengan selamat.

“Panel solar mempunyai jangka hayat yang panjang, melebihi 20 hingga 30 tahun. Dalam tempoh itu, bateri juga perlu diganti tiga hingga lima kali. Itu adalah usaha yang mahal bagi penduduk kampung,” katanya.

“Perlombongan bahan mentah untuk bateri dan panel juga memberi kesan kepada alam sekitar,” tambahnya.

Sebagai perbandingan, memandang keadaan tersebut, banyak kampung telah menggunakan sistem hidro mikro sambil memastikan sistem sungai atau kawasan tadahan air dipelihara.

Lasimbang memilih jalan tengah: melaksanakan sistem hibrid untuk projek baharu Tonibung dan mengubah suai grid lama untuk menampung tenaga solar. Grid boleh diperbaharui hibrid yang menggunakan aliran sungai yang tetap menyediakan bekalan elektrik asas pada waktu malam dan mengurangkan kebergantungan pada penyimpanan bateri untuk jangka hayat yang lebih panjang.

Pada masa yang sama, panel solar membantu mengimbangi kehilangan elektrik apabila aliran sungai berkurangan, seperti semasa musim kemarau.

Tonibung workshop

Suasana bengkel Tonibung di Kampung Nampasan, Sabah. Tonibung ialah organisasi berasaskan komuniti, dipimpin masyarakat Orang Asal, yang memasang grid hidro mikro dan solar di kampung luar bandar. Gambar: Vincent Tan / Eco-Business

Usaha eletrifikasi oleh NGO

Menurut Suruhanjaya Tenaga Sabah, akses universal kepada tenaga yang boleh dipercayai dan mampu dimiliki merupakan isu utama bagi majoriti penduduk luar bandar negeri itu. Pelan Induk dan Pelan Jalan Tenaga Sabah 2040, yang diterbitkan pada 2023, mensasarkan elektrifikasi luar bandar 100 peratus menjelang 2030 – sama ada melalui sambungan grid atau mikrogrid yang beroperasi dengan tenaga boleh diperbaharui hibrid seperti solar dan hidro mikro. Suruhanjaya itu menyatakan bahawa Sabah kini telah mencapai 96 peratus elektrifikasi luar bandar.

Untuk mencapai elektrifikasi luar bandar sepenuhnya, dua program telah dilancarkan. Yang pertama ialah Program Bekalan Elektrik Luar Bandar kerajaan negeri, dan satu lagi usaha oleh gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan, termasuk Tonibung.

Gabungan ini, yang dikenali sebagai Sabah Renewable Energy Rural Electrification Roadmap (SabahRE2), telah bekerjasama ke arah matlamat negeri melalui konsortium lima NGO akar umbi.

Projek ini bermula pada 2021 dengan pemetaan kampung-kampung di seluruh Sabah yang tidak mempunyai akses elektrik, dan NGO setakat ini telah menyurvei 206 kampung. Sasaran mereka ialah memasang 168 sistem mikrogrid di kampung-kampung ini menjelang 2030.

Cynthia Ong, fasilitator utama kumpulan masyarakat sivil Forever Sabah yang merupakan sebahagian daripada gabungan NGO itu, berkata SabahRE2 telah memetakan apa yang mereka percaya sebagai sebahagian besar, jika tidak semua, penempatan yang masih belum dielektrifikasikan di negeri ini. Kerja bagi “fasa demonstrasi” telah bermula, katanya.

Ini melibatkan penubuhan mikrogrid kampung di Kinabatangan dan Ulu Papar, serta dua lagi di daerah Tongod dan Sipitang, yang sedang dalam usaha SabahRE2 untuk mendapatkan pembiayaan.

“Kami sedang mengusahakan mekanisme pembiayaan dan pelaksanaan untuk penskalaan [projek elektrifikasi luar bandar], serta Rangka Kerja Jaminan Keselamatan dan Kualiti (SQA),” kata Ong.

Ong berkata konsortium itu juga terlibat dalam pembangunan bersama ruang dasar untuk mini-grid dengan tenaga boleh diperbaharui, yang kini merupakan ruang tidak terkawal. Oleh itu, terdapat keperluan untuk membangunkan rangka kerja SQA secara kolaboratif dengan Suruhanjaya Tenaga Sabah dan ekosistem pemegang kepentingan yang lebih luas dalam landskap tenaga Sabah.

Tujuan penglibatan dasar ini, katanya, adalah untuk menjadikan rangka kerja SQA yang dicadangkan itu sebagai standard, yang akan membolehkan ekosistem tenaga Sabah berkembang selagi lebih banyak kumpulan memperjuangkan ekuiti tenaga [di mana bekalan tenaga mampu dimiliki oleh seluruh penduduk] dan kedaulatan tenaga.

Memperkasa komuniti

Tonibung juga terlibat dalam inisiatif yang berjalan selari dengan program bekalan luar bandar kerajaan negeri dan telah menjalankan kajian kemungkinan untuk 57 komuniti.

Nama organisasi ini merupakan gabungan perkataan Kadazan asli – “TObpinai NIngkokoton koBUruon KampuNG” – yang bermaksud “Rakan Pembangunan Kampung”. Tonibung berakar umbi Krisis Kewangan Asia 1997-1998, apabila kekurangan pekerjaan mendorong pemuda-pemudi Kadazandusun tempatan, termasuk Lasimbang, untuk menubuhkan Tonibung sebagai sebuah pertubuhan bukan untung yang mengambil kerja sambilan dan projek kasual memerlukan kemahiran teknikal.

Ini menyebabkan Lasimbang terlibat dalam projek sanitasi dan tenaga. Setelah mempelajari tentang teknologi hidro mikro, beliau dan ahli-ahli Tonibung yang lain menjadi sukarelawan untuk beberapa projek sedemikian di Sarawak sebelum memutuskan untuk menumpukan usaha membina grid hidro mikro untuk kampung-kampung luar bandar di negeri asal mereka juga.

Lasimbang berkata, menjelang 2008, Tonibung telah mula mereka bentuk dan mengeluarkan majoriti komponen untuk projek mikrogrid mereka, yang sebelum ini terpaksa diimport dari negara jiran seperti Indonesia atau China.

Tonibung villagers meeting

Adrian Banie Lasimbang, pengasas founder, (di tengah, memakai merah) bertemu penduduk berhampiran Kampung Buayan semasa lawatan bulanan untuk memeriksa status empangan hidro mikro, serta menyelesaikan bayaran bulanan bagi penyelenggaraan empangan. Gambar: Vincent Tan / Eco-Business 

Kesan positif elektrik di kampung luar bandar dapat dirasai hampir serta-merta. Bagi Padan Ukab, seorang petani Lun Bawang dari kampung Long Tanid di pergunungan Sarawak, kos penyimpanan makanan telah menurun sejak Tonibung memasang sistem elektrik 28-kilowatt (kW) pada 2019.

“Dulu jika kami membawa pulang daging dari Lawas [bandar terdekat, kira-kira 150km dari Long Tanid], kami terpaksa menghabiskannya pada hari yang sama atau memasak semuanya kerana tiada peti sejuk,”* kata Padan.

Kos menggunakan peralatan elektrik sebelum ini sangat tinggi kerana penjanaan elektrik menggunakan generator diesel pada waktu malam boleh mencecah RM10 (AS$2.30) semalam, dengan harga diesel RM3.50 (AS$0.80) seliter.

“Perbelanjaan diesel untuk elektrik saya mencecah lebih RM300 (AS$70) sebulan,” ujar Padan – jumlah yang besar bagi komuniti pertanian terpencil.

Dengan bekalan elektrik yang stabil melalui mikrogrid, penduduk kampung kini mampu membeli lebih banyak peralatan seperti peti sejuk, kipas dan lampu. Bil elektrik isi rumah Padan kini hanya RM12 (AS$2.80) sebulan.

“Sekarang anak-anak boleh belajar dengan lebih baik pada waktu malam, dan bagi kami yang ingin bekerja lebih seperti membuat kraftangan, pencahayaan juga lebih baik,” katanya.

Di Sabah, Irene Kodoyou, bekas ketua kampung Kampung Buayan, berkata kampung mereka kini mempunyai bengkel pertukangan dan mesin pengisar ubi kayu – aktiviti komersial yang berfungsi sebagai “pengguna utama” (anchor users) elektrik di kampung tersebut, menurut Lasimbang.

Lasimbang menjelaskan bahawa pengguna komersial sebegini dapat mewajarkan kewujudan mini-grid sekaligus memajukan ekonomi kampung, kerana hasil pendapatan mereka mampu menampung kos penyelenggaraan grid.

“Jika kami hanya bergantung pada bayaran elektrik penduduk biasa, hasilnya tidak cukup untuk mengekalkan grid kampung atau menggantikan komponen seperti turbin apabila rosak,” jelasnya.

Satu kebanggaan kampung ialah Sekolah Rendah Kampung Buayan yang juga menikmati bekalan elektrik yang lebih baik. Dahulu, ia antara sekolah yang mempunyai prestasi terburuk di kalangan sekolah luar bandar Sabah.

“Kini, keputusan peperiksaan bertambah baik kerana bekalan elektrik stabil memberi lebih masa untuk belajar, dan bilangan murid juga meningkat,” kata Kodoyou.

Dari sistem 10kW pada 2022 yang dibiayai Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), kapasiti grid kampung telah berkembang dengan penambahan sistem 20kW oleh Tonibung – menampung pertumbuhan kampung kepada 56 buah rumah.

Perubahan minda

Electrical appliances chart

Sebuah carta berlamina di rumah janakuasa bersebelahan empangan hidro mikro yang membekalkan elektrik kepada Kampung Buayan dan beberapa kampung lain di Banjaran Crocker. Carta itu menerangkan peralatan yang boleh digunakan dengan kuasa empangan, bermaksud barang yang menghasilkan haba dan menggunakan banyak tenaga adalah dilarang. Gambar: Vincent Tan / Eco-Business

Selain perkakasan, Lasimbang berkata, Tonibung telah bertumpuan untuk memastikan penduduk kampung sedar tentang peranan mereksa sebagai pihak berkepentingan utama untuk mana-mana projek hidro mikro atau hibrid.

“Selain memperkenalkan konsep baharu seperti penyelenggaraan dan pengurusan sistem kepada komuniti, kami cuba mengintegrasikan amalan tradisional seperti konsep penjagaan alam masyarakat Orang Asal,” jelas Lasimbang. “Pendekatan ini membantu menyampaikan pengajaran dengan lebih baik.”

Kerangka penjagaan tradisional seperti sistem “tagal” – satu konsep Orang Asal yang kemudian diambil alih oleh kerajaan negeri untuk memulihara perikanan darat – turut berfungsi dengan baik apabila disesuaikan untuk memelihara sistem tadahan air kampung.

“Pembinaan dan pemasangan grid hanya mengambil masa 20 peratus daripada keseluruhan projek,” kata Lasimbang. Sebanyak 40 peratus usaha yang lain digunakan untuk membina kepercayaan dan mendapatkan persetujuan bebas, maklum dan awal (FPIC) daripada komuniti, melakukan survei landskap dan kajian kelayakan sebelum kerja dimulakan.

Semasa dan selepas projek, Tonibung juga membantu penduduk mencari kegunaan yang mampu menampung grid hidro mikro secara berdikari, iaitu dengan membangunkan perniagaan tempatan. Ini termasuk membuka perniagaan kimpalan, mengeringkan hasil pertanian untuk dijual di pasar bandar, malah sehingga pembinaan bot.

Evan Ng, seorang penganalisis firma perunding tenaga Baringa yang berpangkalan di London, berkata elektrifikasi luar bandar boleh mencapai kemajuan lebih pantas di seluruh Malaysia. Namun, kerangka tadbir urus semasa negara menimbulkan cabaran.

Perancangan tenaga pusat berada di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), manakala elektrifikasi luar bandar di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar, kata Ng. “Oleh itu, komunikasi dan usaha terpadu antara kedua-dua kementerian ini diperlukan untuk mempercepatkan elektrifikasi luar bandar di negara ini.”

Like this content? Join our growing community.

Your support helps to strengthen independent journalism, which is critically needed to guide business and policy development for positive impact. Unlock unlimited access to our content and members-only perks.

Terpopuler

Acara Unggulan

Publish your event
leaf background pattern

Transformasi Inovasi untuk Keberlanjutan Gabung dengan Ekosistem →